UMMMPHHH sedapnya kalau dapat minum air sirap tengah-tengah panas macam ni ye? hehe.. tengok,baby pun layan je minum air. Tapi ingat ye,air yang paling bagus adalah air kosong. Iye, air yang tidak ditambah dengan apa-apa pemanis atau perasa tiruan. Air kosong inilah yang memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada kita tau,bukan air berperisa tu!
Alaaa tak sedap la minum air kosong je. Rasa kosong je hidup ni . Amboih! haha melampau sangat kan. Yang sedap tak semestinya Baik, Yang Baik tak semestinya sedap. Eh dah macam iklan pulak ye? :P
Haa meh sini nak habaq mai kata orang kedah, apa yang BEST pasal air kosong ni ? Jeng jeng jeng ....
BUKAN senario pelik apabila individu rasa mengantuk selepas makan, otak kurang cerdas, kurang daya ingatan, sukar mengira, sakit belakang atau kurang tumpuan ketika membaca.
Lebih parah, banyak lagi penyakit lain datang menerpa seperti batu karang dan kerosakan organ buah pinggang. Punca utama disebabkan kurang minum air masak atau air putih.
Pengambilan air mencukupi mampu memberikan kesan optimum kepada kesihatan. Ramai yang tahu, tetapi tidak ambil kisah walaupun bukan susah atau memerlukan kos tinggi meneguk air itu.
Justeru, individu digalakkan minum air masak secukupnya untuk menjamin kesihatan tubuh.
Antara saranan asas pakar perubatan dan pemakanan ialah minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas atau dua liter air sehari untuk mengekal serta meningkatkan kesihatan.
Kurang dapat penyakit
Umumnya, badan mengandungi 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan jadi lebih segar dan kuat. Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan peluang mendapat jangkitan.
Air penting melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut darah ke buah pinggang.
Justeru, air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini daripada badan dengan berkesan kerana kekurangan air memaksa buah pinggang bekerja lebih keras menapis bahan toksik dan lama kelamaan boleh menyebabkan kerosakan organ penting ini.
Air juga diperlukan untuk menjadi pelincir kepada pergerakan sendi dan kajian menunjukkan pengambilan lapan hingga 10 gelas air sehari boleh mengurangkan kesakitan sendi pada 80 peratus pesakit artritis.
Pesona wajah
Air turut menjadi bahan asas paling utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan, membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel di seluruh badan.
Kekurangan air menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh badan.
Dalam dunia kecantikan, air juga memberikan sumbangan begitu besar dalam menjaga pesona wajah seseorang.
Paling ketara ialah minum air untuk kecantikan dan ia pasti memberikan kesan nyata.
Bahkan, anda tidak perlu mengubah penampilan atau berusaha mengubahnya, sebaliknya hal lebih penting adalah menjaga kecantikan iaitu dengan minum air mencukupi.
Minum air setiap hari juga memberikan manfaat pada kulit. Air membuat kulit terjaga kelembapannya dan kekenyalan.
Air putih mengandungi beberapa mineral alam dipercaya menjadi antioksidan yang memberikan kulit pertahanan supaya terhindar daripada pencemaran dan racun di sekitarnya.
Buang lemak
Bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan pula, minum banyak air kosong antara jalan terbaik, selain membantu meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak.
Kajian menunjukkan segelas air kosong boleh menghilangkan lapar pada tengah malam. Air tidak mengandungi kalori, jadi, isu pengumpulan tenaga berlebihan akhirnya disimpan sebagai lemak tidak timbul.
Untuk kesan lebih cepat, pakar pemakanan menyarankan supaya minum setiap kali sebelum makan. Air membuatkan anda terasa cepat kenyang dan ini secara tidak langsung dapat mengelak makan banyak.
Jika tidak biasa minum air masak dua liter sehari, cuba mulai dengan satu hingga dua gelas air pada hari pertama dan kedua.
Kemudian, jadikan tiga gelas pada hari ketiga. Anda mungkin mengalami sedikit kembung melalui beberapa hari pertama. Ini normal, tetapi kemudian mula biasa meminumnya.
Apabila meminum air putih menjadi rutin, toksin akan keluar dari tubuh.
Namun, jika anda penggemar teh, kopi, coklat panas dan minuman soda, kulit yang sebelum ini tampak kurang segar, perlahan-lahan menjadi lembap dan tidak kering lagi.
INFO
Waktu paling sesuai minum air
- Minum dua gelas air masak - Selepas bangun tidur membantu mengaktifkan organ dalaman.
- Minum segelas air masak - 30 minit sebelum makan. Membantu penghadaman dan perut lebih ruang untuk isi makanan.
- Minum segelas air masak - Sebelum mandi. Membantu proses pengaliran darah dan menurunkan tekanan darah.
- Minum segelas air masak - Sebelum tidur. Mengelakkan terkena strok/ ahmar atau serangan jantung ketika tidur.
Manfaat air
- Minum air sekurang-kurangnya lima gelas sehari kurangkan risiko kanser usus (45 peratus), kanser payu dara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus).
- Sumber air datang daripada minuman (47 peratus), makanan (39 peratus) dan proses metabolisme di dalam sel (14 peratus).
- Punca utama keletihan pada waktu siang menyebabkan pernafasan jadi pendek, sakit perut, kebas dan risau.
- Mengantuk selepas makan tengah hari, petanda badan kurang air. Diperlukan untuk proses pencernaan dan metabolisme makanan.
- Air ada dua komponen iaitu dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen (H2O); apabila digunakan untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan menyebabkan mengantuk, letih dan kurang tumpuan.
- Badan kehilangan air melalui:
- Pernafasan (1 gelas air 14 peratus)
- Air kencing (5 1/2 gelas air atau 50 peratus)
- Peluh ( 2 gelas air 34 peratus)
- Najis (1/2 gelas air dua peratus)
No comments:
Post a Comment