Pages

Monday, April 19, 2010

Kesihatan : Kurniaan Yang Tiada Tandingannya

Dewasa ini pelbagai jenis penyakit timbul kesan dari pemakanan yang tidak sihat dan teratur. Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Inilah janji Ilahi. Kesihatan antara kurnia Allah yang tidak ternilai harganya. Tanpa kesihatan, manusia sukar menjalani kehidupan dengan selesa. Oleh itu, kita perlu menjaga kesihatan. Dengan itu juga, seseorang dapat mengerjakan ibadah kepada Allah dengan sempurna. Demikianlah tingginya nilai kesihatan yang mempengaruhi kehidupan manusia. Ramai manusia hanya menyedari nilai kesihatan apabila mereka ditimpa penyakit. Ketika itu barulah mereka insaf betapa kesihatan amat penting supaya kehidupan mereka tidak terganggu.

Menurut Islam, kesihatan tidak hanya terhad kepada aspek jasmani sahaja, malah mencakupi kesihatan batiniah atau rohaniah. Islam juga menolak pandangan yang menitikberatkan kesihatan rohani tanpa jasmani. Islam adalah agama seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Contohnya dalam bab fiqah. Paling utama ditekankan ialah berkaitan toharoh iaitu kesucian seperti mencuci tangan sebelum menikmati hidangan. Islam juga menggalakkan umatnya melakukan aktiviti bersenam seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Pepatah Arab mengatakan: “Akal yang sihat itu terletak pada tubuh badan yang sihat.” Allah berfirman yang maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi, katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Al-Baqarah: 219)


Rasulullah sendiri menjadi teladan dan ikutan. Baginda sentiasa menjada kesihatan tubuh badan serta menggalakkan amalan kebersihan sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” Kebersihan itu amat penting dalam kehidupan manusia. Hayati maksud ayat ini: “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (suroh Al-Baqarah: 68) Menurut hadith, banyak penyakit berpunca di perut iaitu menerusi makanan dan minuman. Islam tegas menetapkan bahawa makanan hendaklah halal dan baik (thoyibban). Dua syarat ini berjalan serentak. Ertinya walaupun sesuatu makanan itu halal, jika ia kurang baik kepada tubuh kita, maka hindarilah. Baik membawa maksud berzat dan bermutu (cara diproses dan dihidangkan) dami membawa kesihatan tubuh.

Jangan menurut jejak langkah syaitan kerana mengambil makanan yang haram (tidak disembelih atau tidak mengikut peraturan Islam).


Ada makanan dan minuman dikatakan menyuburkan jasmani namun terbukti merosakkan rohani manusia. Ketika didatangi seorang tabib yang diutus oleh seorang raja, baginda menerangkan dalam petuanya bahawa: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika lapar, dan jika makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang.” Oleh itu, makan dan minumlah berpada-pada selagi halal dan baik. Berhenti sebelum kenyang supaya tidak membuat diri kita malas atau menimbulkan mudarat. Kini kita lihat ramai pesakit terlantar di hospital bukan kerana tidak cukup makan tetapi menanggung sakit akibat salah atau terlebih makan. Kita perlu menjaga kesihatan sebaik mungkin.Tiada yang lebih bermakna dalam kehidupan ini melainkan memiliki kesihatan mental dan fizikal yang sempurna.

No comments:

Post a Comment